DENTUMAN mercun dan percikan bunga api yang yang terbang bersimpang-siur ke udara kini sudah bermula.
Lagaknya seperti pesta walaupun diberi amaran keras oleh pihak berkuasa.
Dan begitulah berakhirnya riwayat seorang kanak-kanak berumur 6 tahun di Kuala Trengganu kelmarin, menjadi korban pertama kerana mercun di rumah keluarganya sendiri meletup.
Di kawasan Kuala Trengganu sendiri terutama yang berjauhan dengan bandar dan kawasan kampung berhampiran muara sungai, setiap malam dentuman meriam buluh kedengaran.
Ia bukan sahaja mengganggu penduduk tetapi juga mengundangkan bahaya dengan letupan menggunakan bahan karbait itu.
Nampaknya mercun dan bunga api terlarang seperti jenis roket ini begitu mudah diperoleh dan bahan-bahan ini pula seolah-olah mudah pula diseludupkan ke negara kita.
Kebanyakan mangsa cedera dan hilang jari, putus anggota tangan atau kaki dan tidak kurang yang menjadi buta semata-mata bermain mercun di bulan Ramadan.
Pada Tahun Baru Cina dan Deepavali tidak pula ada yang cedera teruk seperti pada hari kebesaran kita walaupun kedengaran bunyi dentuman mercun di sana-sini.
Kemungkinan kanak-kanak kaum Cina dan India diawasi sepenuhnya oleh ibu dan bapa serta keluarga yang tua, tetapi bagi keluarga Melayu dibiarkan sahaja anak-anak mereka membawa mercun ke mana-mana tanpa pengawasan khusus malah digalakkan pula.
Diharap penguatkuasaan bermain mercun dan bunga api yang terlarang serta dentuman meriam buluh dapat dikuatkuasakan, kerana yang mendatangkan bahaya adalah terdiri daripada kanak-kanak. Mangsa-mangsa ini akan hidup merana seumur hidup mereka akibat buta atau kehilangan anggota badan.
Ulasan